Permulaan Bicara

Monday 23 April 2012

PETIKAN AKHBAR: Gadis remaja masa kini mudah terjebak masalah sosial


KUALA LUMPUR: Pemahaman gaya hidup baru yang dianggap moden dengan pergaulan tanpa batasan dan pengaruh budaya barat tanpa tahu membezakan mana yang baik dan buruk adalah punca keruntuhan moral di kalangan gadis remaja kini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata peranan institusi kekeluargaan penting bagi mengatasi masalah gadis remaja kini daripada terus menjadi kes-kes jenayah.
“Kurangnya nilai-nilai murni dalam diri remaja itu menyebabkan punca keruntuhan moral.
“Kurangnya didikan agama juga merupakan punca gadis remaja kini senang terjerumus dalam masalah sosial seperti dadah, maksiat, dan menjalin hubungan songsang,” katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama mendapati kalangan remaja berpendapat hubungan erat dan komunikasi yang baik antara ibu bapa dan anak perempuan amat penting bagi mengelakkan anak mereka terpedaya dengan teman lelaki dan kenalan baru.

Nadyra Zaidi, 19, berkata gadis remaja perlu berhati hati dengan lelaki dan tidak terlalu percayakan lelaki

“Sebagai seorang perempuan tidak perlu ikut perasaan dan perlu pandai berfikir mana yang baik dan buruk…lelaki sekarang bukanlah sebaik yang disangka-sangkakan,” katanya
Kakitangan awam Suryati Wangiman, 24, berpendapat perempuan cepat mempercayai lelaki kerana sifat lelaki yang pandai mengambil hati perempuan.

“Pada masa yang sama perempuan cepat jatuh hati dan menyayangi lelaki, mungkin lelaki menjanjikan sesuatu kepada perempuan itu sehingga sanggup menyerah maruah diri yang amat berharga,” katanya.

Pelajar Muhammad Syabil Sukri, 15, berpendapat ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak supaya tidak terjerumus ke dalam gejala ini.

Kakitangan awam Norsheeda Din, 24, berkata pendidikan agama sangat penting dan media massa perlu memainkan peranan dalam memaparkan tentang betapa pentingnya maruah seseorang wanita agar mereka tidak sewenang-wenangnya menggadaikan maruah begitu sahaja.

Ahmad Riduan Abdullah, 28, pula berpendapat remaja perempuan kini berhadapan dengan keadaan yang bahaya kerana banyak kes pembunuhan, lari rumah dan kes rogol.

“Remaja kini mudah terpedaya dengan lelaki yang baru dikenali…mereka juga kurang didikan agama…tidak malu berpeluk dan bercium di tempat umum dengan berpakaian menjolok mata.

“Mereka mudah sangat melayan lelaki, apabila lelaki menghadiahkan barangan berjenama dan bagi duit belanja mereka mudah melabelkan lelaki terbabit baik,” katanya.

Ahmad Riduan berkata, peranan ibu bapa amat penting dalam memberikan didikan agama kepada anak-anak perempuan supaya mereka mengambil tindakan berjaga-jaga dan sentiasa menjaga kesopanan supaya lelaki lebih menghormati mereka.

“Ibu bapa juga perlu ambil berat tentang masalah anak-anak supaya mereka akan mencari ibu bapa mereka sendiri daripada mencari lelaki untuk menyelesaikan masalah dan ia dapat mengelakkan anak gadis mereka dari terjerat atau terhutang budi”.

Beliau berkata ada juga ibu bapa terlalu memanjakan anak perempuan mereka dan percayakan seratus peratus kepada teman lelaki anaknya sehingga mereka tidak sedar anak mereka dalam bahaya.

Guru sekolah menengah, Norazimah Salleh, 25, berpendapat pelajar perempuan sekolah kini terlalu terpengaruh dengan bahan bacaan novel berunsur cinta.

“Cerita-cerita cinta dalam novel juga boleh mempengaruhi gadis remaja hanyut dibuai perasaan.

“Masalah remaja ini juga berpunca daripada masalah dalaman diri mereka sendiri kerana terpengaruh dengan rakan-rakan yang sudah ada teman lelaki,” katanya

Norazimah berkata, segelintir remaja bermasalah ini sanggup mengadai maruah diri semata-mata untuk kebendaan dan daripada segi sudut psikologi ada antara mereka ini kekurangan kasih sayang dan perhatian keluarga.

“Gadis remaja ini ingin mencuba rasa disayangi, dibelai oleh kenalan,” dan menurutnya sebab itu ibu bapa perlu ambil tahu setiap pergerakan anak perempuan mereka walaupun sibuk bekerja. 

sumber:  BERNAMA

No comments:

Post a Comment