Permulaan Bicara

Tuesday 10 April 2012

Mukadimah masalah sosial remaja


Pengenalan

Belakangan ini terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang melibatkan remaja. Pelbagai andaian, hujah, cadangan, program dan aktiviti bagi menangani masalah sosial ini diutarakan. Perlakuan sosial yang negatif dalam bentuk devian sosial tidak seharusnya merupakan satu petunjuk ke atas kelemahan masyarakat  untuk membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai  murni kemanusiaan serta agama.

Pengertian masalah sosial remaja

Secara umumnya masalah sosial  merangkumi berbagai perlakuan  negatif anggota  masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan  dalam sesuatu masyarakat ataupun negara.

Secara perundangan tidak terdapat definisi yang khusus  bagi mengkategorikan remaja. Akta Pekerjaan Kanak-Kanak dan Orang Muda 1996 mentakrifkan  seorang kanak-kanak adalah mereka yang  berada dalam lingkungan umur 10 hingga 14 tahun. Dalam Akta Pengangkatan  1952,  kanak-kanak didefinisikan mereka yang berumur 21 tahun ke bawah. Walaupun setiap akta ini tidak menjelaskan peringkat umur tertentu, secara umumnya dalam membicarakan masalah remaja, golongan remaja yang perlu ditumpukan adalah yang berumur  di bawah 21 tahun dan sebahagian besar daripada mereka masih dalam alam persekolahan.

Statistik Gejala Sosial Remaja

Di Malaysia,  remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak.

Data dan statistik  banyak menunjukkan keruntuhan akhlak di kalanagan remaja di negara ini adalah semakin serius. Mengikut  Pihak Berkuasa Jenayah Bukit Aman (Berita Harian, 22 September 1993) antara tahun 1990 dan 1992 sahaja, seramai 37602 individu ditahan  bagi kesalahan jenayah harta benda  serta kekerasan. Daripada  jumlah ini, seramai 3450 atau 9.17%  adalah remaja dan dalam kalangan  remaja yang diberkas pula, kesalahan yang dilakukan  boleh dibahagikan kepada jenayah kekerasan dan harta benda.

Perangkaan polis menunjukkan, antara kes jenayah yang selalu dilakukan oleh remaja adalah pecah rumah, rusuhan, pergaduhan sesama mereka, salah guna dadah, mencuri basikal atau motosikal (Utusan Malaysia, Januari 1992).

Jenayah yang dilakukan  oleh remaja  bukan hanya berlaku di kawasan bandar raya atau bandar-bandar besar sahaja, malah di merata tempat di seluruh pelusok negara. Sebagai contoh, di Kedah sahaja, sebanyak 307 kes jenayah  berlaku sepanjang tahun 1991. Daripada jumlah itu, 73 kes membabitkan pelajar sekolah. Mengikut pembahagian kaum, seramai 204 kes melibatkan kaum Melayu, 54 remaja  Cina dan 47 adalah remaja kaum India.

Berdasarkan statistik, kes melibatkan remaja jelas meningkat antara tahun 1990 dan 1992. Pada tahun 1990, sebanyak 657 kes dicatatkan, diikuti 830 kes pada tahun 1991 dan 1487 kes pada tahun 1992.

Satu lagi kesalahan yang melibatkan remaja adalah lari atau hilang dari rumah. Pada tahun 1990, terdapat 1578 kes, 1991 (1981 kes), 1992 (2221 kes) dan 1993 (1485 kes).

Dari segi jenayah melibatkan bahan berbahaya seperti dadah psikoaktif, antara tahun 1990 dan 1992, daripada jumlah 22912 penagih dadah  yang ditahan, 2856 orang (12.46%) adalah remaja.

Statistik seterusnya adalah bersabit kesalahan akhlak yang amat serius  dari kaca mata masyarakat Malaysia, iaitu perbuatan maksiat di kalangan  remaja. Menurut Menteri Perpaduan Negara dan Pembanguan Masyarakat, Datuk Napsiah Omar (Berita Harian, 3 Februari 1992), bilangan remaja  yang rosak ahklak masih tinggi. Pada tahun 1988, sebanyak 3978 kes dicatatkan, 4111 kes pada tahun 1989,  3763 kes pada tahun 1990  dan sebanyak 2658 kes sehingga bulan Oktober 1991.

Satu lagi tabiat  remaja  yang menampakkan potensi untuk menjadi gejala yang sukar dibendung adalah kegemaran  mereka membazir masa. Istilah yang popular digunakan kini adalah “budaya lepak”. Satu kajian   di dua buah rumah pangsa  di Kuala Lumpur mendapati sebanyak 90% remaja kaum Cina terus pulang ke rumah selepas sekolah, sebanyak 72% remaja kaum India  berbuat demikian dan hanya 5.8% remaja kaum Melayu pulang ke rumah selepas sekolah (Utusan Malaysia, 11 Mac 1993).


No comments:

Post a Comment