Permulaan Bicara

Tuesday 15 May 2012

CARA-CARA MENGATASI MASALAH PONTENG SEKOLAH


Oleh : Cikgu Zura
Perbincangan mengenai keruntuhan akhlak remaja adalah berkisar isu pelajar remaja.  
Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada golongan remaja ini.
Berikut beberapa saranan:

1. Ibu bapa memainkan peranan mereka  
Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yangmempunyai kedudukkan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak. 

2. Pendekatan akademik.
Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas.

3. Mewujudkan sistem perundangan di sekolah.
Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar
sekolah, di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa dalam pengawasan disiplin.

4. Penguatkuasaan Undang-Undang oleh pihak berkuasa seperti polis.
Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.

5. Kaunseling  
Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut.

6. Peranan PIBG  
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang
penting. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu selalu berbincang untuk menyelesaikanm asalah ini.




































































Monday 23 April 2012

PETIKAN AKHBAR: Gadis remaja masa kini mudah terjebak masalah sosial


KUALA LUMPUR: Pemahaman gaya hidup baru yang dianggap moden dengan pergaulan tanpa batasan dan pengaruh budaya barat tanpa tahu membezakan mana yang baik dan buruk adalah punca keruntuhan moral di kalangan gadis remaja kini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata peranan institusi kekeluargaan penting bagi mengatasi masalah gadis remaja kini daripada terus menjadi kes-kes jenayah.
“Kurangnya nilai-nilai murni dalam diri remaja itu menyebabkan punca keruntuhan moral.
“Kurangnya didikan agama juga merupakan punca gadis remaja kini senang terjerumus dalam masalah sosial seperti dadah, maksiat, dan menjalin hubungan songsang,” katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama mendapati kalangan remaja berpendapat hubungan erat dan komunikasi yang baik antara ibu bapa dan anak perempuan amat penting bagi mengelakkan anak mereka terpedaya dengan teman lelaki dan kenalan baru.

Nadyra Zaidi, 19, berkata gadis remaja perlu berhati hati dengan lelaki dan tidak terlalu percayakan lelaki

“Sebagai seorang perempuan tidak perlu ikut perasaan dan perlu pandai berfikir mana yang baik dan buruk…lelaki sekarang bukanlah sebaik yang disangka-sangkakan,” katanya
Kakitangan awam Suryati Wangiman, 24, berpendapat perempuan cepat mempercayai lelaki kerana sifat lelaki yang pandai mengambil hati perempuan.

“Pada masa yang sama perempuan cepat jatuh hati dan menyayangi lelaki, mungkin lelaki menjanjikan sesuatu kepada perempuan itu sehingga sanggup menyerah maruah diri yang amat berharga,” katanya.

Pelajar Muhammad Syabil Sukri, 15, berpendapat ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak supaya tidak terjerumus ke dalam gejala ini.

Kakitangan awam Norsheeda Din, 24, berkata pendidikan agama sangat penting dan media massa perlu memainkan peranan dalam memaparkan tentang betapa pentingnya maruah seseorang wanita agar mereka tidak sewenang-wenangnya menggadaikan maruah begitu sahaja.

Ahmad Riduan Abdullah, 28, pula berpendapat remaja perempuan kini berhadapan dengan keadaan yang bahaya kerana banyak kes pembunuhan, lari rumah dan kes rogol.

“Remaja kini mudah terpedaya dengan lelaki yang baru dikenali…mereka juga kurang didikan agama…tidak malu berpeluk dan bercium di tempat umum dengan berpakaian menjolok mata.

“Mereka mudah sangat melayan lelaki, apabila lelaki menghadiahkan barangan berjenama dan bagi duit belanja mereka mudah melabelkan lelaki terbabit baik,” katanya.

Ahmad Riduan berkata, peranan ibu bapa amat penting dalam memberikan didikan agama kepada anak-anak perempuan supaya mereka mengambil tindakan berjaga-jaga dan sentiasa menjaga kesopanan supaya lelaki lebih menghormati mereka.

“Ibu bapa juga perlu ambil berat tentang masalah anak-anak supaya mereka akan mencari ibu bapa mereka sendiri daripada mencari lelaki untuk menyelesaikan masalah dan ia dapat mengelakkan anak gadis mereka dari terjerat atau terhutang budi”.

Beliau berkata ada juga ibu bapa terlalu memanjakan anak perempuan mereka dan percayakan seratus peratus kepada teman lelaki anaknya sehingga mereka tidak sedar anak mereka dalam bahaya.

Guru sekolah menengah, Norazimah Salleh, 25, berpendapat pelajar perempuan sekolah kini terlalu terpengaruh dengan bahan bacaan novel berunsur cinta.

“Cerita-cerita cinta dalam novel juga boleh mempengaruhi gadis remaja hanyut dibuai perasaan.

“Masalah remaja ini juga berpunca daripada masalah dalaman diri mereka sendiri kerana terpengaruh dengan rakan-rakan yang sudah ada teman lelaki,” katanya

Norazimah berkata, segelintir remaja bermasalah ini sanggup mengadai maruah diri semata-mata untuk kebendaan dan daripada segi sudut psikologi ada antara mereka ini kekurangan kasih sayang dan perhatian keluarga.

“Gadis remaja ini ingin mencuba rasa disayangi, dibelai oleh kenalan,” dan menurutnya sebab itu ibu bapa perlu ambil tahu setiap pergerakan anak perempuan mereka walaupun sibuk bekerja. 

sumber:  BERNAMA

Sunday 22 April 2012

suara pendapat: Menangani gejala sosial

Pandangan dan pendapat oleh: Muhamad Razak Idris


(Berikut ialah laporan temubual oleh wartawan dari akhbar atas talian malaysiaharmoni.com yang meminta pandangan saya berhubung peningkatan jumlah anak yang dilahirkan tidak sah taraf perkahwinan). 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menganggap jumlah 17,303 anak luar nikah Melayu yang didaftarkan sepanjang tahun 2009 seperti mana yang didedahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai angka yang menggerunkan.  Justeru, selain peranan ibu bapa memastikan pendidikan agama yang berterusan untuk anak-anak, masyarakat perlu mula memikirkan bagaimana proses perkahwinan boleh dipermudah bagi menggalakkan ikatan yang sah antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Bagi menyokong hasrat tersebut, ABIM bercadang untuk membudayakan trend ‘perkahwinan beramai-ramai’ sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.
Presidennya, Muhamad Razak Idris, ketika dihubungi oleh Malaysia Harmoni berkata, sebelum ini memang ada usaha pihak-pihak tertentu melangsungkan perkahwinan secara berkelompok ini. Bagaimanapun, ia tidak menjadi budaya dan hanya terhenti setakat itu sahaja. ABIM bercadang untuk mempopularkan kembali tradisi ini dan melaksanakannya secara lebih sistematik.  ”Perkara ini memang telah ada dalam perancangan kita. Dengan pengumuman yang dibuat oleh JPN itu nampaknya perancangan tersebut perlu disegerakan pelaksanaannya sebagai sokongan kepada belia yang sudah cukup syarat untuk mendirikan rumahtangga.


“Insya-Allah, satu jawatankuasa di bawah program pembangunan keluarga akan dibentuk. Kita akan memohon kerjasama daripada Pusat Zakat dan Jabatan Agama, dan akan cuba mendapatkan penajaan daripada syarikat- syarikat serta Majlis Agama,” kata Muhamad Razak.  Menurutnya lagi, ABIM menawarkan diri untuk mencari dan mengumpulkan bakal pengantin. Mereka yang berminat akan didaftarkan sebagai peserta program perkahwinan beramai-ramai ini. Sehubungan dengan perkara tersebut, beliau berharap akan dapat bekerjasama dengan pihak media untuk menghebahkan perkara ini kepada masyarakat.

“Kita serius untuk menjadikan perancangan ini satu kenyataan. Di samping menjimatkan belanja, ia satu usaha yang menarik dan paling penting, mempermudah proses perkahwinan. Ada antara pemuda yang berhasrat menamatkan zaman bujang terpaksa menangguhkan niatnya kerana belanja hantaran perkahwinan yang tinggi. Insya-Allah, kita harap pelancaran program ini dapatdilakukan menjelang cuti persekolahan panjang pada akhir tahun ini,” katanya penuh optimistik.

Langkah ini adalah sebagai satu cara untuk mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja dan belia. Bagaimanapun, masyarakat perlu terus memainkan peranan dalam menangani golongan yang tidak mahu berkahwin, hanya mahu berseronok dan tidak faham akan tujuan hidupnya. Pada Ahad lalu, sebuah portal media perdana melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim bahawa sepanjang tahun 2009 sahaja terdapat 17,303 anak luar nikah berbangsa Melayu/Islam yang didaftarkan di JPN. Katanya, bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya (16,541), manakala pada 2007 jumlahnya seramai 16,100 orang.

Alwi menjelaskan lagi dalam tempoh lima tahun lalu, sejumlah 74,723 pendaftaran anak luar nikah membabitkan orang Melayu/Islam. Jumlah itu pula tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes-kes yang tidak dilaporkan.

Mengulas laporan tersebut, Muhammad Razak berkata, ia adalah manifestasi realiti institusi kekeluargaan negara pada masa sekarang. Walaupun dari satu sudut, kesedaran penghayatan Islam dilihat meningkat, namun di sudut lain nilai kesedaran itu menjunam dalam masa yang sama, atau dalam istilah akademiknya disebut berlaku paradoks.  Kepincangan ini adalah kesan yang terpaksa diterima dalam era dunia terbuka atau globalisasi kini.

“Yang lebih menakutkan, masalah (melahirkan anak luar nikah) ini berlaku dalam kalangan belia. Bagaimana keadaannya 20 tahun akan datang? Kita takut akan berlaku perkara-perkara yang tidak baik kepada anak-anak lantaran banyaknya institusi keluarga yang tidak kukuh. Jadi ABIM berpendapat, penting untuk kita melihat semula proses pemupukan nilai dan kesedaran agama untuk golongan remaja dan pelajar,” katanya.

Sebagai sebuah pertubuhan belia berasaskan Islam, ABIM berpandangan berlaku kelompongan pengajaran agama khususnya apabila para remaja tamat sekolah menengah.  ”Sistem pendidikan agama nampaknya tidak mencukupi. Apabila pelajar-pelajar ini tamat tingkatan lima, tidak ada penerusan dalam pembelajaran agama. Di sinilah perlunya program pendidikan Islam lanjutan yang tidak formal bagi mereka kerana pengaruh persekitaran kepada golongan ini sangat kuat.

“Saya dapati anak-anak muda yang telah melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi atau yang bekerja kilang misalnya (mula berkerjaya) sukar untuk menghadiri kuliah-kuliah agama di masjid. Mungkin jiwa mereka tidak sesuai di sana kerana masjid-masjid lebih banyak dipenuhi golongan dewasa dan warga emas.

“Jadi sebagai alternatifnya, kita perlu wujudkan seberapa banyak pusat pendidikan Islam untuk golongan muda. Kerajaan pula perlu memperkenalkan program peringkat nasional dengan lebih tersusun,” kata Muhamad Razak lagi.  ABIM, tambahnya, bercadang akan memulakan inisiatif ini dengan menubuhkan Pusat Pendidikan Lanjutan Pengajian Islam untuk para belia. Perkara ini mungkin akan dilakukan dengan kerjasama masjid-masjid, dan modul khas akan dirangka agar pengajian dapat dijalankan secara bersilibus.

Akhir sekali, peranan ibu bapa tetap menduduki tempat utama bagi membantu mengurangkan gejala sosial dalam kalangan belia dan remaja. Ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap tingkah laku dan pergerakan anak- anak di luar mahupun di dalam rumah. Perkara-perkara seperti pergaulan bebas dan akses yang mudah kepada bahan-bahan pornografi perlu dielakkan serta dipantau dari semasa ke semasa.