Permulaan Bicara

Tuesday, 17 April 2012

cara mengatasi masalah gejala sosial remaja


Gejala sosial yang melibatkan golongan remaja bukan sahaja menimpa remaja kelas bawahan, malahan membabitkan kelompok remaja kelas menengah dan atasan. Pada umumnya, gejala ini timbul kerana golongan remaja tidak mempunyai tempat mengadu dan tidak diurus dengan saksama lagi bijaksana.

PERANAN IBU BAPA
Sesetengah ibu bapa harus mengakui bahawa mereka tidak mempunyai kemahiran dalam mendidik anak-anak. Kemahiran mengasuh meliputi kefahaman terhadap jiwa remaja, menangani kesihatan mental dan emosi anak-anak muda serta penguasaan terhadap perkembangan terkini. Mereka perlu dididik bahawa jiwa remaja kini tidak sama dengan jiwa mereka sewaktu remaja. Interaksi dengan anak-anak tidak lagi bersifat sehala. Pandangan bahawa `ibu dan bapa kemudian anak-anak’ tidak lagi terpakai. Sebaliknya ibu bapa perlu memahirkan diri menjadi `rakan anak-anak’. Kemahiran mendengar dan berbincang dengan anak-anak perlu dipupuk. Konsep membuat keputusan untuk anak remaja juga tidak lagi boleh diamalkan. Sebaliknya gaya berbincang nyata lebih berkesan.

Ibu bapa harus peka dan membantu remaja dalam memahami perubahan fizikal dan seksual mereka. Mereka perlu dibantu apabila terdapat ledakan kebolehan intelektual. Perubahan tersebut mendorong remaja membebaskan diri daripada kongkongan ibu bapa dan sebaliknya mereka mahu membina jati diri sendiri.

Pendidikan daripada alam kanak-kanak kepada remaja menjadikan emosi dan psikologi mereka mulai bebas. Jika ibu bapa masih mengamalkan konsep melindungi dan bukannya tempat meluahkan masalah, remaja akan kelihatan bermusuh dengan ibu bapa kerana jiwa mereka tidak difahami. Peristiwa yang menimpa remaja Sufiah Farouq (remaja pintar di Oxford) merupakan suatu contoh bahawa remaja tidak boleh dikongkong oleh ibu bapa.

Institusi keluarga penting untuk membantu mengelakkan para remaja dari terjebak dengan
gejala sosial. Paling penting perlu dititik beratkan ialah tentang agama. Adanya asas agama yang teguh, remaja tidak akan sewenang-wenangnya terjerumus kepada perkara yang tidak baik. Dalam hal ini peranan ibu bapa sangat penting, terutamanya sebagai model kepada anak-anak. Kesibukan bukan alasan sebagai penghalang ibu bapa mengambil berat hal anak-anak mereka. Paling penting ibu bapa tahu berperanan dan mengamalkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya mempunyai masa untuk berkomunikasi dan mengambil tahu perihal anak-anak mereka.

 Selain itu, ibu bapa yang memiliki anak remaja hendaklah ‘menjadi rakan’ kepada mereka. Dengan ini anak-anak akan lebih mempercayai ibu bapa dan menjadikan mereka sebagai rujukan jika berdepan dengan masalah. Apabila anak-anak bercerita tentang masalah mereka, ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan. Jangan terus membuat spekulasi yang tidak baik ataupun terus menghukum. Berikan masa untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik.

Ibu bapa juga digalakkan merancang aktiviti bersama anak-anak dan ahli-ahli keluarga. Contohnya, di bulan Ramadan ini, seboleh-bolehnya semua ahli keluarga berkumpul untuk berbuka puasa ataupun bersama-sama ke surau atau masjid untuk menunaikan solat sunat Tarawih. Para ibubapa juga perlu sentiasa memantau keadaan anak-anak, tidak boleh ‘just take for granted’. Mereka tidak boleh membiarkan anak-anak bersendirian menentukan jalan hidup mereka. Anak-anak perlu dibimbing.

Selain itu, ibu bapa perlu mengenali rakan anakanak remaja mereka. Jika perlu, sesekali minta supaya anak-anak membawa rakan-rakan mereka ke rumah supaya dapat dipastikan dengan siapa anak kita berkawan. Ibu bapa harus sentiasa berdoa agar anak-anak mereka terhindar dari perkara-perkara yang tidak diingini. Mereka harus sedar bahawa doa ibubapa sangat penting untuk kesejahteraan hidup anak-anak


PERANAN GURU DI SEKOLAH

Guru di sekolah pula bukanlah sekadar pembimbing akademik, tetapi harus menjadi rakan kepada remaja. Guru yang diingati oleh remaja ialah guru yang boleh dibawa berbincang dan sama-sama menyelesaikan masalahnya. Guru yang hanya memerintah akan diingati sebagai `pemerintah’ dan tidak didekati. Hasilnya, arahan akademik bukan sahaja tidak dipatuhi, bahkan mewujudkan pemberontakan antara pelajar dengan gurunya. Ini pula akan menyebabkan pelajar tidak mempunyai minat terhadap proses pembelajaran.


PERANAN PIHAK BERKUASA

Pihak berkuasa pula tidak boleh mengharapkan remaja menjauhi kehidupan bebas dan liar, tetapi pada masa yang sama turut menyediakan ruang untuk perkara seperti minuman arak, seks bebas dan penagihan pil ecstacy berlaku dengan mudah. Persekitaran tidak sihat hares dibanteras, seiring dengan usaha pembentukan remaja itu sendiri. Gejala remaja gemar menonton video lucah misalnya, tidak boleh dituding semata-mata kepada ibu bapa dan guru. Dalam hal ini, adakah ibu bapa dan guru hares disalahkan, sedangkan bahan untuk tontotan lucah berlambak bebas di pasaran tanpa kawalan?

PERANAN MEDIA MASSA

Media pula mesti mengawal penyiaran secara eksklusif dan besar-besaran tentang keruntuhan akhlak remaja tanpa membantu untuk mengawalnya. Sebaliknya remaja yang berjaya mesti sering ditonjolkan di media massa sebagai motivasi untuk diteladani. Hal-hal mengenai kreativiti remaja mesti sering diperbanyak berbanding liputan mengenai aksi dan perangai negatif mereka.
Sesungguhnya, pelbagai gejala negatif berleluasa di kalangan remaja hari ini. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama membanteras fenomena ini agar tidak timbul masalah sosioekonomi yang lebih serius.

PERANAN KOMUNITI/MASYARAKAT

Setiap usaha yang dilakukan dalam apa-apa permasalahan masyarakat tidak akan berjaya jika masyarakat di tempat di mana masalah itu berlaku tidak turut sama menggembleng tenaga. Untuk menggerakkan masyarakat Melayu ataupun komuniti Islam, tempat yang paling sesuai dalam mendapat komitmen mereka ialah di masjid-masjid atau di surau-surau. Kerana di sinilah masyarakat berkumpul pada setiap hari, setidak-tidak pada waktu malam sekiranya mereka sibuk bekerja pada siang harinya. Apabila masjid-masjid dan surau-surau mula membincangkan mengenai cara-cara untuk menangani penyakit masyarakat ini, sudah pastilah Pelan Tindakan yang disusun oleh kerajaan negeri melalui agensi-agensi kerajaan dan jabatan yang berkaitan akan menjadi lebih mudah. Apa yang kita mahukan di sini ialah masjid-masjid dan surau-surau menjadi perantara kepada mesej yang hendak disampaikan oleh kerajaan negeri dalam mengubati penyakit ini serta kaedah rawatan yang perlu diambil dan seterusnya kaedah pencegahannya. Apabila mandat diberikan kepada pihak masjid serta surau dan seterusnya komuniti setempat untuk melaksanakan program ini, sudah pasti masyarakat akan memandang tinggi terhadap institusi masjid serta surau, dan mereka akan melihat hubungan jambatan antara komuniti setempat dengan kerajaan negeri.

Pihak jawatankuasa masjid dan surau hendaklah diberi kefahaman yang sepenuhnya bahawa usaha ini bukannya untuk meraih keuntungan atau sokongan mana-mana pihak, tetapi ianya adalah untuk manfaat masyarakat keseluruhannya. Kaedah ini adalah seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w di mana masjid dijadikan tempat untuk menyelesaikan segala permasalahan masyarakat, sumber rujukan, pusat kaunseling dan seterusnya.




”Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Ar-Rum:41)


“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). Dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.” (Ali-Imran: 104)
”Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Ali-Imran : 110)


2 comments:

  1. Hares ? Harus kan ? btw... terima kasih atas segala semua ini.
    membantu saya sangat-sangat.

    ReplyDelete
  2. Saya mintak izin copy krangan ini untuk rujukan.. :-)

    ReplyDelete