Permulaan Bicara

Sunday 22 April 2012

petikan akhbar: Minda-Capai gejala sosial sifar

FAKTA sebanyak 21 kes pelajar mengandung dan bersalin anak luar nikah sejak 2006 hingga sekarang seperti yang dikesan Kementerian Pelajaran baru-baru ini adalah sangat mengejutkan dan memerlukan perhatian serta tindakan drastik semua pihak dalam mencari jalan mengekang dan mengkaji di mana puncanya sehingga boleh berlaku kes sedemikian.


Kes boleh dikategorikan sebagai perlakuan seks luar nikah atau perzinaan yang dilarang agama dan berbahaya jika dilihat daripada aspek kesihatan seksualiti sehingga boleh menyebabkan penyakit kelamin dan sebagainya. Oleh itu, semua pihak hendaklah berganding bahu membendung aktiviti perzinaan ini daripada berlaku di kalangan pelajar sekolah.

Aktiviti seks luar nikah adalah perhubungan seksual tidak sihat, perlu dihalang daripada menjalar di dalam masyarakat agar tidak menjadi budaya songsang di kalangan generasi muda di negara ini.

Dilaporkan 12 daripada kes serius ini berlaku di sekolah luar bandar dan sembilan di kawasan bandar di mana siasatan yang dilakukan kementerian menunjukkan bahawa 20 kes adalah berdasarkan aktiviti seks suka sama suka antara pasangan manakala hanya satu kes saja membabitkan rogol dan semua kes berkenaan berlaku di dalam kawasan perumahan masing-masing.

Ini belum lagi termasuk kes yang membabitkan pelajar sekolah ditangkap khalwat, masalah buang bayi, lari rumah mengikut teman lelaki dan sebagainya yang perlu dikekang segera oleh pihak yang bertanggungjawab.

Maklumat yang sangat menakutkan ini berdasarkan sumber yang diperoleh daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah dan Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) yang mana agensi bertanggungjawab ini mempunyai akses serta pengetahuan langsung berkenaan kes pelajar mengandung dan bersalin anak luar nikah di negara ini.

Oleh yang demikian, semua pihak perlu bermusyawarah dan bekerjasama secara sistematik termasuklah ibu bapa dan guru melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang cukup berpengaruh serta efektif dalam mencari alternatif terbaik serta formula paling mujarab menangani masalah kritikal ini.

Dalam hal ini semua pihak tidak boleh menyalahkan sesiapa pun atau menuding jari kepada pihak lain tetapi sebaliknya berusaha merancang pelan tindakan bersepadu membendung isu kritikal dan serius ini di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah sama ada membabitkan aspek keagamaan dan moral, aplikasi psikologi pendidikan yang mantap dan pendidikan kesihatan yang konsisten agar masalah sosial ini dapat dikekang dengan bijaksana.

Aspek perundangan juga perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana ia membabitkan pelajar sekolah bawah umur yang mana sudah tentu ada undang-undang tertentu mengawalnya.

Sehubungan itu, menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah sosial membabitkan pelajar sekolah, kementerian menerusi perkhidmatan Bimbingan dan

Kaunseling (B&K) telah menganjurkan program penerangan mengenai seksualiti, perhubungan antara lelaki dan perempuan serta adab dan tatacara bagaimana untuk bergaul dengan kawan-kawan. Ini kerana kebanyakan kes yang berlaku adalah kerana naluri kedewasaan yang ingin mencuba selain mendapat kebebasan keterlaluan daripada keluarga di samping rapuhnya pegangan serta didikan agama masing-masing.

Untuk itu, benteng agama di kalangan pelajar hendaklah diperkukuh serta dimantapkan lagi agar mereka tidak jauh tersasar dan menyeleweng daripada landasan agama.

Selain usaha pihak sekolah, kementerian juga menasihati ibu bapa atau penjaga agar lebih bersikap prihatin dan mengambil tahu perhubungan anak-anak mereka dengan memantau perubahan tingkah laku harian mereka.

Kementerian juga dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) telah merancang dan melaksanakan beberapa program untuk mendidik pelajar lelaki dan perempuan mengenai seks dan seterusnya mereka diminta berikrar secara bertulis agar menjaga kehormatan diri sehingga ke malam pengantin (alam perkahwinan) setelah tamat program berkenaan.

Ini adalah pembaharuan drastik di dalam penambahbaikan sistem akhlak dan moral pelajar negara yang perlu dilaksanakan segera sebagai mekanisme menghalang aktiviti tidak sihat daripada berleluasa di dalam sistem persekolahan menengah dan rendah di seluruh negara.

Mengenai cadangan untuk menubuhkan sebuah sekolah khas bagi pelajar mengandung luar nikah jika wujud keperluan yang bertujuan menangani gejala pembuangan bayi yang semakin berleluasa dan bukan sebagai galakan kepada remaja untuk terjebak dengan perbuatan hamil luar nikah dilihat tidak praktikal dan tidak sesuai untuk dilaksanakan ketika ini.

Cadangan itu tidak akan menyelesaikan masalah gejala pembuangan bayi malah, dikhuatiri akan menggalakkan lebih ramai pelajar terbabit dalam perbuatan yang sumbang dan tidak bermoral itu. Oleh yang demikian, kita perlu menutup mana-mana pintu saddu zarai’k (menutup ruang maksiat) yang boleh menggalakkan perlakuan keji berkenaan di kalangan generasi muda terutamanya pelajar sekolah ke arah merealisasikan impian gejala sosial sifar.

Penulis seorang guru


Sumber : Harian Metro



No comments:

Post a Comment