Permulaan Bicara

Tuesday 17 April 2012

Gejala Sosial 1: GENGSTERISME


Pengenalan 
Gengsterisme adalah sejenis tingkah laku yang sudah lama wujud di kalangan pelajar dan masih berterusan sehingga kini. Keadaan menjadi bertambah serius apabila pelajar perempuan dan murid sekolah rendah di kesan terlibat dengan gejala samseng yang dikenali sebagai gengsterisme. Peningkatannya kelihatan seiring degan kemajuan dan pembangunan negara. Thrasher (1961) mendefinisikan gang sebagai satu kumpulan yang mempunyai ciri-ciri seperti mengikut tingkah laku yang sama,perjumpaan secara bersemuka,gerakan secara berunit,konflik dan mempunyai perancangan.

Biasanya terdapat beberapa tanda penglibatan dalam kumpulan samseng. Sesetengah daripadanya jelas dan ada di antaranya yang memerlukan siasatan. Setiap kumpulan samseng mempunyai simbol dan ikonnya sendiri. Tidak kira sama ada mereka masih baru atau tidak penting dalam dunia gengsterisme ini, mereka mempunyai logo, tanda, atau isyarat mereka tersendiri.

Budaya gengsterisme


Faktor – Faktor Mempengaruhi Gengsterisme

1. Faktor keluarga
Keluarga adalah satu unit(kumpulan) yang terdiri daripada ahli-ahli yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Keluarga juga merujuk kepada kombinasi ibu bapa yang tinggal serumah dan mempunyai anak. Kegagalan ibu bapa memberikan bimbingan dan perhatian terhadap anaknya merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi gejala gengsterisme ini. Kesibukan ibu bapa mencari rezeki untuk menampung keluarga mengakibatkan sesetengah remaja hidup dalam keadaan terbiar. Terdapat ibu bapa yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik kepada guru dan pihak sekolah. Sesetengah ibu bapa langsung tidak ambil kisah tentang kegiatan anaknya dengan kawan-kawan anaknya.

2. Faktor media massa
Media ialah satu proses komunikasi berasaskan usaha mengatur persefahaman antara manusia yang pada mulanya menerusi bahasa yang diucapkan. Perkembangan teknologi maklumat dan siber telah membolehkan manusia berhubung antara satu sama lain tidak memerlukan ruang dan masa. Namun begitu, media juga banyak memberikan kesan negatif sehingga ia menjadi faktor yang mempengaruhi gengsterisme. Media massa yang berbentuk cetak atau elektronik kini semakin sukar di kawal. Remaja terpengaruh dengan filem yang tidak bermoral dan ganas yang diimport dari negara-negara barat. Budaya dan gaya orang barat yang tidak beretika iaitu sedikit sebanyak telah merubah cara hidup remaja kita. 

3. Faktor pengaruh rakan sebaya
Rakan sebaya merupakan rakan seumur dan dikategorikan rakan sepermainan, seperjalanan,dan rakan seperjuangan. Semakin kuatnya pengaruh rakan sebaya yang sebilangan kecil menjurus kepada pembentukan kumpulan geng atau samseng. Pembentukan kumpulan ini, telah membawa kepada pembentukan budaya sendiri dalam kalangan remaja. Dalam kalangan remaja tersebut, mereka ingin memelihara budaya khususnya kumpulan masing-masing.

4. Faktor pencapaian akademik yang rendah
 Pelajar yang lemah dalam bidang akademik mempuyai risiko yang tinggi untuk menyertai kumpulan gengster. Terdapat pelajar yang lemah menggabung diri dengan kumpulan yang terlibat dalam aktiviti yang negatif itu. Penglibatan pelajar tersebut adalah untuk mendapatkan sokongan moral yang membolehkan diri mereka mempunyai identiti yang tersendiri. Sesetengah pelajar pula untuk mendapatkan perhatian,pengiktirafan dan mempunyai kuasa untuk memenuhi cita rasa masing-masing.

Kesan- kesan 
  1. Kewujudan kumpulan samseng ini akan membawa kesan negatif pada pihak sekolah. Ahli –ahli kumpulan sering melakukan kegiatan-kegiatan ganas di sekolah. Sekiranya ahli kumpulan ini dapat menubuhkan satu jaringan aktiviti yang kuat di sekolah ia akan menganggu dan melemahkan seluruh perjalanan sekolah. 
  2. Selain itu, gejala samseng ini juga akan menggangu proses pengajaran dan pembelajaran. Kumpulan - kumpulan ini akan mencurahkan perasaan benci dan tidak puas hati dengan menganggu proses P&P di sekolah. 
  3. Gejala gengsterisme ini akan mewujudkan budaya takut dalam masyarakat. Kehadiran gengster ini akan menyebabkan orang ramai berasa takut untuk melakukan aktiviti harian. Contohnya mereka akan di paksa memberi wang, diperas ugut dan dipukul jika tidak mengikut kemahuan mereka. 
  4. Kewujudan gejala gengsterisme ini juga akan menyebabkan berlakunya vandalisme dan merosakkan harta benda awam. Jenis vandalisme yang dilakukan dengan melakukan contengan grafik pada harta benda awam seperti di tandas awam, bangunan-bangunan di tepi jalan dan telefon awam. Grafik tersebut sukar dipadam dan memerlukan kos yang banyak untuk membersihkannya.
Kesimpulan 
Gejala gengsterisme ini perlulah dibendung dengan segera supaya ia tidak akan mendatangkan masalah yang lebih teruk pada masa akan datang. Dalam mengatasi masalah ini kerjasama antara kesemua pihak adalah sangat penting. Justeru pihak berwajib sentiasa bersiap sedia untuk menangani masalah ini dengan lebih efisen dan komited.


No comments:

Post a Comment